‘Kalau PN ada angka bawa ke Parlimen, kita tempur’ – Anwar

‘Kalau PN ada angka bawa ke Parlimen, kita tempur’ – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mempunyai sokongan cukup bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan supaya membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen, bulan ini.

Anwar berkata, beliau bukan Perdana Menteri yang takut seperti pimpinan negara terdahulu apabila memilih menangguhkan sidang Parlimen dan mengisytiharkan darurat bagi mengelak ‘bertempur’.

Katanya, pihak yang yakin mempunyai sokongan cukup Ahli Parlimen bagi menukar kerajaan boleh membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri bagi mendapatkan keabsahan.

“‘Kita akan adakan sidang Parlimen dalam dua minggu ini dan sekiranya ada angka, bawa. Sebab itu bila ada pertelingkahan mengenai kestabilan dalam negara, saya tegas menyatakan saya bukan mantan Perdana Menteri yang elak berdepan berentap dalam mendapatkan keabsahan.

“Bekas Perdana Menteri dulu memilih isytihar darurat dan tangguh Parlimen. Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan sekarang memilih berdepan dan bertempur di Parlimen jika mereka ada angka yang cukup seperti dikatakan.

“Jadi dengan kenyataan ini, saya mahu matikan sebarang kenyataan yang ganggu gugat kestabilan negara, saya yakin kita ada angka yang ampuh, kita masih bertahan dengan angka 148 (Ahli Parlimen) dan jika mahu dicabar, cabar di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, hari ini.

Selain itu, Anwar menegaskan beliau sama sekali tidak akan menghalang usul bagi mencabar kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, usul itu perlu dijadikan penamat kepada segala pertelingkahan yang timbul bagi membolehkan urusan pentadbiran negara berjalan lancar.

“Saya nak matikan desas-desus (perubahan kerajaan), jika benar ada angka jangan mengigau mempersulitkan rakyat, cari Ahli Parlimen menyokong mereka, bawa usul saya tak akan elak daripada membentangkan usul undi percaya atau tak percaya.

“Saya bukan jenis pimpinan dulu yang memilih lari daripada kenyataan, memilih isytihar darurat, menangguhkan sidang Parlimen. Kita akan adakan sidang dalam tempoh dua minggu lagi, kalau ada angka bawa dan saya akan berdepan serta bertempur di Parlimen.

“Tapi syaratnya biar ini jadi episod terakhir supaya kita boleh tumpu perhatian untuk membangunkan negara, ketika ini dalam tempoh beberapa bulan Kerajaan Perpaduan memerintah, kita tambah hasil negara dan tiada kontrak diberikan kepada anak-beranak,” katanya. – Malaysiapost

Komen