HASRAT pembangkang membentuk kerajaan Perak baharu tidak akan tercapai meskipun ada dakwaan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu akan meletak jawatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jika ada kerusi dikosongkan.
“Apabila empat kerusi DUN diisytihar kosong dan perlu pilihan raya semula, saya akan letak balik empat calon daripada gabungan BN-PH.
“Ada kemungkinan juga saya (BN-PH) menang semula di dua daripada empat kerusi kosong terbabit, maka dengan itu, kita balik jadi kerajaan semula. Lebih baik kekal (kerajaan semasa).
“Kalau (memang) ada empat (Adun) kerajaan yang terkesima atau teruja dengan mana-mana tawaran, fikirlah banyak kali, sebab apabila kamu lompat parti, maka kamu gugur sebagai Adun dan sudah tidak boleh bertanding lagi.
“Elok-elok dapat elaun RM11,000 sebulan sebagai Adun, kemudian letak jawatan. Kena cerdiklah…kita sebagai orang politik, jangan mudah-mudah termakan ya (tawaran),” katanya menurut Harian Metro.
Beliau mengulas khabar angin kerajaan Perak akan bertukar Julai ini, susulan dakwaan empat Adun dalam kerajaan perpaduan akan meletak jawatan.
Mengulas lanjut, Saarani mengaku mengetahui desas-desus ada pihak mahu menggulingkan kerajaan Perak sejak tiga minggu lalu, tetapi tegasnya perkara itu tidak mungkin berlaku.
Beliau turut mengesahkan tiada wakil rakyat yang ‘tertarik’ untuk berpaling tadah selepas menemui lapan Adun BN.
“Jadi InsyaAllah kerajaan ini akan kukuh sehingga tamat tempoh,” katanya.
Kerajaan Perak ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan gabungan 24 Adun PH bersama sembilan Adun BN.
PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional memenangi 26 kerusi DUN namun tidak cukup untuk membentuk kerajaan Perak yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi. – Malaysiapost