OPR naik: ‘Anwar, Rafizi tolong jelaskan’ – Hassan Karim

OPR naik: ‘Anwar, Rafizi tolong jelaskan’ – Hassan Karim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli perlu memberi penjelasan berkenaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik pada 3 Mei lalu yang sebelum ini pernah dinafikan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata penjelasan tersebut penting terutama tidak lama lagi Kerajaan Perpaduan akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

“Jadi saya tidak mahu rakyat di enam negeri di Semenanjung akan berdepan dengan PRN menempelak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani sekarang dengan pertanyaan sinikal mereka iaitu adakah OPR ini boleh ditafsirkan sebagai Operasi Peras Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hassan yang juga pemimpin PKR berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai alasan sebab menaikkan kadar OPR berkenaan.

“Kita bersangka baik kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPN) BNM yang membuat keputusan menaikkan kadar OPR itu. BNM mungkin melihat kepentingan ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang.

“Tetapi Bank Negara juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan sekarang pimpinan Anwar yang sedang berusaha untuk membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut untuk hidup berdepan dengan krisis kos sara hidup yang parah,” katanya.

Malah katanya, Anwar selaku Menteri Kewangan tentu bersetuju dengannya bahawa golongan B40 dan M40 paling terkesan teruk dengan kenaikan kadar OPR tersebut.

“B40 dan M40 merupakan 80 peratus rakyat Malaysia dan mereka menghadapi masalah kewangan serta ekonomi sekarang,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.

Bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019. – Malaysiapost

Komen