Pegawai, anggota polis direman kes rasuah RM5,000

Ben Ibrahim

ENAM anggota polis termasuk seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut direman enam hari mulai hari ini kerana disyaki menerima suapan RM5,000 sebagai balasan menyelesaikan kes rampasan air ketum.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman selepas meneliti permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kamarnya hari ini.

Difahamkan, pegawai dan anggota polis terbabit ditahan SPRM petang semalam susulan laporan dibuat seorang lelaki.

Pengadu mendakwa menyerah wang suapan itu kepada seorang lelaki sebagai imbuhan menyelesaikan kes serbuan dan rampasan air ketum pada 3 Mei lalu.

Semua suspek berusia antara 28 dan 48 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar Jerantut petang, semalam.

Suspek kini ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Temerloh untuk siasatan lanjut.

Difahamkan selain inspektor berkenaan, lima anggota lagi termasuk seorang berpangkat sarjan mejar, koperal (dua) dan dua lans koperal.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad [email protected] ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights