ULASAN | Pihak berkuasa Thailand didesak oleh Human Rights Watch untuk menyiasat kematian seorang pencari suaka beretnik Uyghur yang sudah berada di pusat tahanan imigresen sejak 9 tahun yang lalu.
Kejadian ini menguatkan lagi desakan supaya Thailand menghentikan penahanan ke atas mana-mana pencari suaka.
Pada 21 April 2023, Mattohti Mattursun, 40, disahkan meninggal dunia akibat komplikasi hati di Pusat Tahanan Imigresen Suan Phlu, Bangkok. Dia ditahan sejak 13 Mac 2014.
“Pihak berkuasa Thailand meletakkan pelarian dalam keadaan bahaya dengan menahan mereka selama bertahun-tahun di pusat tahan dalam kondisi yang tidak berperikemanusiaan,” kata Elaine Pearson, pengarah di Human Rights Watch.
“Kematian Mattohti Mattursun sepatutnya menyedarkan Thailand untuk menamatkan polisi yang tidak berperikemanusiaan ke atas pelarian dan pencari suaka,” tambahnya lagi.
Sebagai etnik Uyghur, Mattohti Mattursun berdepan ancaman keselamatan sekiranya pulang ke China. Beliau merupakan salah seorang daripada pelarian Uyghur yang tiba di Thailand pada tahun 2014, untuk meneruskan perjalanan ke Malaysia sebelum menuju ke negara yang ketiga.
Pada tahun 2015, kerajaan Thailand menghantar pulang 109 pelarian Uyghur terdiri daripada individu dewasa dan kanak-kanak lelaki ke China, yang tidak lagi dapat dikesan sejak kepulangan mereka.
Sebanyak 170 lagi wanita dan kanak-kanak Uyghur dibenarkan ke Turkiye, iaitu destinasi asal mereka. Sejak itu, Thailand telah menahan lebih kurang 50 lagi pelarian Uyghur di pusat tahan imigresen yang sesak, yang mana pihak berkuasa melayan mereka seperti pendatang haram tanpa sebarang hak.
Mattohti Mattursun merupakan individu Uyghur kedua yang meninggal dunia di Pusat Tahanan Imigresen Suan Phlu pada tahun 2023. Aziz Abdullah, 49, disahkan meninggal dunia pada Februari lalu akibat radang paru-paru.
Uyghur merupakan etnik majoriti Muslim yang kebanyakannya tinggal di barat daya China. Sejak hujung tahun 2016, kerajaan China di bawah pimpinan Presiden Xi Jinping telah meningkatkan tekanan ke atas etnik Uyghur di Xinjiang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyifatkan penindasan ke atas etnik Uyghur sebagai satu kemungkinan ‘jenayah kemanusiaan’.
Di bawah undang-undang Thailand, kesemua pendatang asing tanpa dokumen perjalanan yang sah termasuklah kanak-kanak, pencari suaka dan pelarian yang diiktiraf oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) boleh ditangkap dan ditahan atas kesalahan kemasukan tanpa izin.
Banyak pusat tahanan di Thailand sudah dipenuhi dengan tahanan yang berlebihan, tidak menyediakan makanan yang mencukupi, mempunyai pengudaraan yang tidak baik dan kekurangan akses kesihatan serta lain-lain kemudahan asas. Tahanan akan ditempatkan di dalam sel yang kecil, tanpa ruang yang mencukupi untuk duduk dan tidur. Kanak-kanak lazimnya akan ditahan di sel yang sama dengan orang dewasa.
Kondisi di pusat tahanan imigresen Thailand sudah sekian lama dilaporkan tidak memenuhi speksifikasi antarabangsa, namun kerajaan Thailand tidak mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi isu berkenaan.
Thailand tidak meraktifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak pernah meluluskan undang-undang bagi mengiktiraf pencari suaka serta memproses permohonan mereka.
“Thailand sepatutnya menyedari bahawa polisi penahanan pelarian mereka tidak berperikemanusiaan dan tidak produktif,” kata Elaine Pearson.
“Tindakan menahan pelarian Uyghur tidak akan menghalang mereka daripada meninggalkan Xinjiang yang dilanda situasi genting, malah sebaliknya hanya akan menambah sengsara mereka,” katanya lagi.- Malaysiapost
Artikel ini ditulis oleh Malaysia4Uyghur dan ia tidak mencerminkan pendirian Malaysiapost