Projek tambak laut di Pulau Pinang akan dikaji semula – PM

Projek tambak laut di Pulau Pinang akan dikaji semula – PM

RANCANGAN projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSI) akan dikaji semula dan diperkecilkan skop tambakannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Justeru, Perdana Menteri berkata, sebagai alternatif kepada matlamat utama projek itu, Kerajaan Pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana yang besar dan mencukupi kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek transit aliran ringan (LRT).

Jelasnya, Kerajaan Pusat akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam tempoh antara satu hingga dua minggu akan datang bagi membincangkan mengenai peruntukan menerusi skim tersebut.

“Saya meneliti kontroversi mengenai projek tambak laut ini dengan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan mengambil kesempatan ini bagi meredakan masalah dengan mengumumkan supaya projek ini dapat dikaji semula, diperkecilkan skopnya.

“Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam skim yang besar untuk membolehkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan segera projek LRT,” katanya.

Jelas Anwar, Jemaah Menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke secara prinsipnya telah memberi persetujuan berhubung skim dan dana itu, malah satu perjumpaan dengan pegawai Kementerian Kewangan turut diadakan semalam berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Pusat meneliti segala kebimbangan dan keluhan yang disuarakan berhubung projek tambakan laut tersebut yang disuarakan pelbagai pihak.

Katanya, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil semua langkah perlu dan memberi jaminan berhubung kedudukan nelayan, masalah hakisan, pembangunan semula kampung Melayu dan kawasan minoriti penduduk Cina serta India yang terkesan.

“Tapi alasan rasional yang diberikan adalah Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberi dana yang mencukupi terutama dalam pembangunan infrastruktur yang mendesak di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan situasi kesesakan di Pulau Pinang ketika ini sebagai keterlaluan dan amat mendesak untuk diselesaikan.

“Kita ada MRT, LRT di Lembah Klang, kenapa ia tidak boleh dialih ke salah sebuah kota terbesar di negara ini, kenapa tidak kita adakan juga LRT (MRT) di Pulau Pinang?” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan di bawah pimpinannya tidak pernah berputus asa dalam meneruskan usaha melaksanakan projek LRT Komtar ke Bayan Lepas yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negeri itu.

Katanya, projek berkenaan sentiasa dalam senarai untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi dipertimbangkan dalam Bajet 2023 Persekutuan. – Malaysiapost

Komen