PENGANJURAN Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah hari ini, tidak menggunakan wang kerajaan negeri, sebaliknya hanya menggunakan dana parti.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, majlis itu berbeza dengan Rumah Terbuka Malaysia Madani kerana ia 100 peratus anjuran PAS.
“Menu pun sedap-sedap tetapi menu-menu itu dibuat oleh kawasan dan negeri-negeri (PAS), kita tak pakai kementerian-kementerian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, majlis rumah terbuka itu diadakan di premis parti bagi mengurangkan kos selain untuk berjimat cermat.
“Kita tak guna dana kerajaan negeri anjur Rumah Terbuka PAS. Saya nak maklum Perdana Menteri, kita buat jamuan di premis parti dengan perbelanjaan parti.
“Ini 100 peratus anjuran parti politik. Madani itu kerajaan guna untuk politik, kita guna parti politik untuk politik. Itu besar bezanya,” katanya.
Menurutnya, tiada kemudahan kerajaan negeri digunakan meskipun beliau adalah Menteri Besar di Kedah.
Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan hendaklah ditunjukkan melalui teladan selain mengotakan apa yang diucapkan.
“Rumah terbuka saya dan kerajaan negeri sepatah pun tak kempen PRN, ramai juga hadir, tahu dah mereka nak undi Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi yang juga pengerusi PN Kedah menegaskan bahawa penganjuran rumah terbuka parti itu bukan bertujuan untuk bersaing dengan kerajaan persekutuan.
“PAS Kedah jadi tuan rumah seperti yang disangkakan orang bahawa ini adalah usaha untuk menyaingi Majlis Rumah Terbuka Madani. Tidak,” katanya. – Malaysiapost