SEORANG penunggang maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh motosikal di Kilometer 259.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara di Seremban, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, Sheikhrul Razi Ab Kadir, 19, yang beralamat di Taman Saga, Ampang Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadians emua penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari kedai makan di Senawang menghala ke Ampang, Selangor.
“Namun apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas di lorong tengah.
“Kejadian itu menyebabkan enam penunggang motosikal lain yang berusia antara 17 hingga 21 tahun termasuk seorang wanita tidak sempat mengelak dan berlanggar sesama sendiri,” katanya dalam, hari ini.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada seluruh bahagian badan.
Katanya, dua penunggang motosikal lain parah dan empat lagi cedera ringan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut. – Malaysiapost