‘Tak kumpul SD, istiqamah jadi pembangkang’ – Peja

PERIKATAN Nasional (PN) menafikan ada usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PN akan terus istiqamah sebagai pembangkang dan menumpukan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“PN kita tak ada buat (kumpul) SD. Memang kita ada 74 kerusi dan kita istiqamah serta sedar, kita perlu jalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan itu yang akan diteruskan.

“Fokus PN hari ini adalah ke arah untuk cuba mengekalkan kerajaan (PN) di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta cuba cari jalan untuk mengambil kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas spekulasi kononnya PN kini mendapat sokongan 126 Ahli Parlimen dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman memuat naik satu hantaran di Facebooknya dengan menulis: ‘126 dah… jika benar, Alhamdulillah’.

Hantaran itu dikaitkan dengan jumlah sokongan terhadap PN yang kini dikatakan sebanyak 126 kerusi.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, kenyataan itu tiada kaitan dengan sokongan Ahli Parlimen kepada PN.

“Awak (media) boleh semak balik dengan dia. Sebenarnya itu bukan apa yang dia maksudkan,” katanya.

Beliau turut menafikan desas-desus Ahli Parlimen pembangkang menandatangani SD menyokong Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Perdana Menteri.

“Saya tak fikir begitu, saya tak percaya (ada SD sokong Hamzah sebagai Perdana Menteri).

“Kita dalam semangat Syawal hari ini, tak perlulah fikir sangat. Lebih baik fokus bagi khidmat pada rakyat, eratkan silaturrahim dalam bulan Syawal, itu yang perlu kita buat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights