Wan Rakemi menang jawatan Ketua Umno Tanah Merah

DATUK Wan Rakemi Wan Zahari menang jawatan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah dalam pemilihan parti bahagian itu yang berlangsung hari ini.

Beliau memperoleh undi sebanyak 196 untuk mengalahkan dua pencabarnya iaitu Datuk Ir Shaari Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha yang masing-masing memperoleh 158 undi dan 114 undi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Akbar Salim berkata, pemilihan hari ini berjalan lancar dengan seramai 474 daripada 515 perwakilan mengundi.

“Wan Rakemi mendapat sebanyak 196 undi, manakala jawatan Timbalannya dimenangi Mazli Mustapha dan Naib pula Alias Md Yusoff.

“Saya bersyukur pemilihan hari ini berjalan lancar, tenang dan jumlah perwakilan yang keluar mengundi sangat membanggakan.

“Seramai 474 daripada 515 perwakilan mengundi, hampir 90 peratus,” katanya hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu menyaksikan mandat kepimpinan Umno Tanah Merah dikembalikan semula kepada bahagian berkenaan selepas ia digantung sejak 16 Jun 2020.

“Selepas ini kita akan fokus untuk membina semula Umno Bahagian Tanah Merah dan seterusnya bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, bahagian itu diketuai oleh Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah.

Bagaimanapun, Ikmal Hisham bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights