Ahli Parlimen BN sudah tandatangan perjanjian, kerusi milik parti

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (Umno), Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan dakwaan bahawa ada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan ‘mengosongkan’ kerusi sebagai tidak benar sama sekali.

Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan semua Ahli Parlimen BN telah menandatangani perjanjian sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bahawa kerusi yang ditandingi adalah milik parti.

“Ya, benar tiada MP BN yang mahu kosongkan kerusi. Lagi pun kami telah tandatangani perjanjian sebelum menjadi calon BN bahawa kerusi yang ditandingi adalah milik parti.

“Maka parti Umno, BN berhak membawa hala tuju yang kami perlu akur. Kini, bersama Kerajaan Perpaduan adalah pilihan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada Ahli Parlimen daripada gabungan politik itu yang akan bertindak mengosongkan kerusi masing-masing bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, keputusan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukannya sejak mula desas-desus mengenai peletakan jawatan yang akan dilakukan 13 Ahli Parlimen bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan BN-Pakatan Harapan (PH) yang diperkatakan sekarang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ura-ura menjatuhkan kerajaan nyata tidak berasas, sebaliknya BN tetap komited untuk meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sokongan padu daripada 148 Ahli Parlimen mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang, sekali gus mewujudkan kestabilan dalam negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights