Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan meninggal dunia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah buat keluarga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Clifford F Herbert meninggal dunia, pagi tadi.

Anwar berkata, mendiang merupakan seorang pegawai yang baik dan telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada negara.

“Terima khabar duka, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Datuk Clifford F Herbert telah meninggal dunia pagi ini.

“Secara peribadi, saya akan terus mengingati jasa mendiang terhadap pembangunan negara khususnya pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya utus salam takziah buat keluarga mendiang, semoga mereka tabah hadapi dugaan ini,” katanya menerusi Facebook.

Untuk rekod, mendiang yang memegang jawatan KSP pada 1993 hingga 1997, menyertai perkhidmatan awam pada 1964 sebagai Penolong Setiausaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari 1964 hingga 1968.

Selepas itu, berkhidmat di Kementerian Kewangan dari 1975 sebelum menjadi KSP dan bersara daripada perkhidmatan awam pada 1997.

Mendiang juga pernah menjadi gabenor alternatif Bank Dunia dan dari 1994 hingga 2000, Pengerusi Lapangan Terbang Antarabangsa KL yang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Herbert turut dilantik sebagai ahli lembaga pelbagai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antaranya Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Airline System Berhad, PETRONAS, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan Pengerusi Kumpulan Wang Amanah Pencen.

Herbert adalah lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights