‘Bila sampai PRN, baru bincang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang’ – Loke

PERBINCANGAN mengenai pertukaran Ketua Menteri Pulau Pinang hanya akan dibuat apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu, berkata DAP masih menyokong kepimpinan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa di bawah kepimpinan beliau.

“Bila sampai PRN nanti, baru kita bincang tentang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Sekarang ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang belum dibubarkan, kerajaan negeri di sana masih berfungsi seperti biasa. DAP masih mendukung kepimpinan Kon Yeow untuk terus menerajui negeri,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Laporan tersebut mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Pada 3 Mei lalu, seramai 10 Adun DAP menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada PRN akan datang.

Kesemua mereka merupakan Adun Pulau Pinang biasa yang tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dalam Kerajaan Negeri sama ada sebagai Ketua Menteri, ahli Exco atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights