Hamzah tidak ‘bermimpi’, tetapi kemaruk – Puad

Hamzah tidak ‘bermimpi’, tetapi kemaruk – Puad

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakwa bukan lagi ‘bermimpi’ tetapi kemaruk untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata walaupun Hamzah mendakwa tidak pernah bermimpi atau mengigau untuk menubuhkan kerajaan baharu, namun Ketua Pembangkang itu mendoakan perkara tersebut menjadi kenyataan.

“Kalau sampai berdoa, itu ‘kemaruk’ namanya. Mengenali Hamzah dia akan buat apa sahaja seperti mana dia sanggup tinggalkan Umno.

“Cuma kali ini dia disusahkan oleh ‘Akta Anti Lompat Parti’. Tetapi Hamzah pakar tebuk atap. Dia akan tebuk individu individu yang masih ada di sana dan di situ. Hamzah bijaksana dan bijaksitu,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Hamzah menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan kerajaan.

Setiausaha Agung PN itu turut menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau bermimpi dan mengigau setiap minggu kerana didakwa ‘menjaja’ mempunyai ‘angka’ untuk membentuk kerajaan.

Malah, Hamzah mendakwa Anwar yang sebenarnya mengigau kerana takut kedudukannya akan diambil alih oleh PN. – Malaysiapost

Komen