‘Jangan cabar, kami ada ‘numbers’ malah lebih banyak’ – Shahidan

‘Jangan cabar, kami ada ‘numbers’ malah lebih banyak’ – Shahidan

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak mencabar pembangkang berhubung isu ‘nombor’ atau jumlah sokongan bagi membentuk kerajaan baharu.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Shahidan turut menzahirkan keyakinan bahawa pembangkang mempunyai cukup jumlah sokongan Ahli Parlimen berbanding sebelum ini.

“Ada…Ada ‘numbers’. Jangan cabar sekali lagi. Kalau dulu kami ada maka sekarang tentu lagi banyak,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Perdana Menteri mencabar pihak yang mendakwa konon mempunyai sokongan kukuh untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen akan datang.

Beliau menegaskan, dirinya bukan Perdana Menteri yang akan mengelak untuk berdepan dan berentap berhubung keabsahan itu di Parlimen seperti yang dilakukan perdana menteri sebelum ini apabila memilih mengisytiharkan darurat serta menangguhkan sidang Parlimen.

Anwar turut mengulangi Kerajaan Perpaduan ketika ini mempunyai sokongan ampuh daripada 148 ahli Parlimen membabitkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta Gabungan Parti Sarawak.

“Kalau mereka ada angka, sila bawa ke sidang Parlimen. Saya akan berdepan dengan orang yang bawa usul dan kita akan bertempur dalam sidang itu,” katanya. – Malaysiapost

Komen