Kerajaan, pembangkang perlu fokus bantu rakyat, jangan sibuk rebut kuasa

Kerajaan, pembangkang perlu fokus bantu rakyat, jangan sibuk rebut kuasa

KETUA Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberi fokus terhadap usaha membantu rakyat daripada terus merebut kuasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, berkata tanggungjawab itu perlu diberi keutamaan sebelum bermulanya sidang Parlimen hujung bulan ini.

“Alhamdulilah Perdana Menteri dah nyatakan keberanian beliau untuk minta mana-mana pihak yang ada ‘nombor’ boleh bawa ke Parlimen dan berjanji tidak akan menggantung Parlimen untuk mengekalkan kuasa seperti PM sebelum ini.

“Jadi sekarang ni sebelum sidang dewan, baik kerajaan dan pembangkang kita fokus dulu isu nak bantu rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Dr Muhamad Akmal juga menegaskan isu rakyat termasuk ekonomi, kesihatan, air adalah lebih penting daripada parti politik sibuk merebut kuasa.

“Nanti dah ada sidang dewan, bawalah nombor apa yang ada.. Jangan bawa nombor 4D sudah. Baru steady!,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pada sidang Parlimen yang dijadualkan hujung bulan ini.

Anwar menegaskan, beliau bukan Perdana Menteri yang akan mengelak untuk ‘bertempur’ berhubung keabsahan sokongan Kerajaan Perpaduan di Parlimen.

Anwar mengulas mengenai desas-desus yang semakin hangat berhubung kemungkinan Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan hilang majoriti seterusnya ditumbangkan.

Malah, Anwar mengulangi keyakinan Kerajaan Perpaduan yang didokong oleh kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini mempunyai sokongan ampuh daripada 148 Ahli Parlimen. – Malaysiapost

Komen