Proton penyumbang besar kepada ekonomi negara – PM
SEJAK 1985, Proton Holdings Berhad (Proton) merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
Perkara itu diakui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, syarikat pengeluar kereta nasional pertama negara itu telah membayar cukai bernilai RM25 bilion sejak ia ditubuhkan.
Perdana Menteri berkata, beliau menjangkakan Proton mampu untuk menyumbang lebih banyak pada masa depan sekali gus memacu industri automotif tempatan terus berkembang maju.
“Sebagai Menteri Kewangan, saya begitu teruja kerana Proton juga antara penyumbang terbesar tabung negara dengan bayaran (cukai) sebanyak RM25 bilion.
“Jadi, saya menjangkakan lebih banyak bayaran akan dibayar dalam beberapa tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Proton X90 dan sambutan Ulang Tahun Proton ke-40, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antrabangsa (Mitec) di ibu negara, hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, Proton ketika ini perlu diberikan tumpuan kepada latihan kualiti dalam bidang teknologi baharu.
“Sebelum ini, saya mempunyai peluang lebih awal untuk berbincang bersama Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu.
“Saya berterima kasih kepadanya kerana beliau menyatakan dengan jelas bahawa Geely bersedia menyokong program latihan untuk rakyat Malaysia di Proton dalam meningkatkan kebolehan mereka,” katanya. – Malaysiapost