Siti Zailah tidak mohon kebenaran guna air pili bomba 

DATUK Siti Zailah Mohd Yusoff tidak pernah meminta kebenaran pihak bomba Rantau Panjang bagi menggunakan air pili bomba untuk agihan kepada penduduk setempat. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin menafikan Ahli Parlimen Rantau Panjang itu telah meminta kebenaran pihaknya bagi mengambil air pili bomba.

“Sorry to say (maaf cakap) tapi dia tidak minta kebenaran dengan pihak bomba.

“Kita nak permohonan dalam hitam putih bukan secara verbal (lisan) dan kami memang tidak menerima surat setakat ini.

“Dia tidak minta kebenaran (ambil air) daripada pihak kami dan kalau dia kata dia minta balai sekalipun, dia kata dia rujuk dengan AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd).

“Tetapi AKSB pun menafikan menerima permohonan daripada pihak terbabit,” katanya dipetik portal Majoriti, hari ini.

Jelas Zainal, pihak yang berkenaan seharusnya memohon secara bertulis dan bukan secara lisan.

“Kalau ada secara verbal pun itu cara yang salah dan kita rujuk pada AKSB.

“Memanglah air itu hak AKSB tetapi pili itu bomba punya,” katanya. 

Terdahulu, dalam hantaran di Facebook, Siti Zailah menjelaskan bahawa tindakan menggunakan pam penyedut bagi mengambil air dari pili bomba untuk agihan kepada penduduk setempat sudah mendapat kebenaran Balai Bomba Rantau Panjang.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu memaklumkan bahawa penggunaan pili bomba untuk membantu penduduk yang terjejas bekalan air di Rantau Panjang, dalam pengetahuan pihak bomba. 

Malah menurut Siti Zailah, pihak bomba juga banyak membantu dengan menghantar bantuan air ke premis seperti surau dan sekolah yang kecemasan memerlukan air.

“Tiada berbangkit isu curi air, kami membantu rakyat yang kecemasan memerlukan air.

“Air itu adalah air AKSB dan mendapat kebenaran daripada pihak mereka,” katanya. 

Mengulas mengenainya, Zainal berkata, pihaknya kini telah membuat satu laporan dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

“Perkara ini akan dilanjutkan kepada pihak atasan dan kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Surat daripada AKSB pun kita akan minta,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Siti Zailah didakwa menggunakan pam penyedut bagi mengambil air dari pili bomba untuk mengagihkan bekalan air kepada penduduk setempat berikutan beberapa kawasan di Parlimen itu menghadapi masalah bekalan air.

Tindakan Siti Zailah itu dikecam netizen di media sosial yang membidas tindakan ahli Parlimen itu yang dianggap tidak wajar dilakukan.

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan seorang Ahli Parlimen pembangkang di Kelantan yang menggunakan air dari pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat.

Menterinya, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen tersebut kerana ia merupakan perkara yang tidak bertanggungjawab untuk dilakukan mana-mana individu.

“Sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian.

“Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights