Tawan Selangor: Zahid ucap selamat maju jaya kepada Azmin 

SAYA hanya nak ucapkan selamat maju jaya kepada Azmin, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam nada sinis berkata demikian berikutan keyakinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendabik dada bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Selangor pada PRN nanti.

Presiden Umno itu berkata, keyakinan yang dilontarkan Azmin yang merupakan Pengerusi PN Selangor itu perlu dilihat pada cermin terlebih dahulu kerana beliau sendiri telah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di Parlimen Gombak. 

“Saya mengikuti kenyataan dikeluarkan pemimpin pembangkang di Selangor yang amat yakin memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 58 kerusi akan ditandingi dalam PRN akan datang.

“Saya hanya nak ucapkan selamat maju jaya kepada Azmin, ada PRU dulu pun beliau sangat yakin untuk menang di Gombak. Tentunya pada PRN Selangor nanti, beliau mempunyai keyakinan tinggi,” katanya dipetik BH, hari ini. 

Semalam, Azmin berkata, PN Selangor yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan diadakan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, PN menguasai 14 kerusi manakala terdapat sembilan kerusi yang gabungan itu kalah kurang daripada 5,000 undi.

“Kita hanya perlukan dalam 1,000 hingga 2,000 undi sokongan dan dengan situasi semasa, saya yakin kerusi ini boleh ditawan PN.

“Ini menjadikan jumlah dalam tangan 23 kerusi. Maknanya untuk mencapai 30 atau lebih, satu perkara yang boleh diusahakan dan itu antara hasrat kita,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights