PEMBANGKANG tetap perlu mengemukakan cadangan dan tawaran berhubung pengagihan peruntukan membabitkan semua Ahli Parlimen mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana kerajaan sedia ada bukan lagi Kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya Kerajaan Perpaduan.
“Kita masih tunggu cadangan dari pembangkang tetapi pihak mereka menyatakan ia tidak perlu.
“Mereka (pembangkang) perlu ingat kerana ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan, bukan lagi PH,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2), hari ini.
Beliau mengulas perkembangan rundingan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Bagaimanapun katanya, peruntukan itu hanya tertumpu kepada soal perbelanjaan melibatkan pentadbiran.
Sementara itu, Fadillah yang turut terlibat dalam fasa rundingan terbabit berkata, tiada sebarang syarat diletakkan terhadap Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Jelasnya, apa yang menjadi keutamaan adalah bagi memastikan kerjasama semua pihak dan kestabilan politik dapat dijamin.
“Jadi kita perlu minta mereka kemukakan cadangan, bagaimana dengan peruntukan itu kita boleh jalin kerjasama ke arah memastikan negara kita lebih stabil dari segi politik.
“Itu yang kita nak,” katanya.
Proses berkenaan merupakan tindakan yang sama ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebelum ini. – Malaysiapost