YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Clifford F Herbert yang meninggal dunia, semalam.
Istana Negara dalam kenyataan di Facebook, berkata Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan itu.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada negara.
“Mendiang yang memegang jawatan KSP pada tahun 1993 hingga 1997, menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1964 sebagai Penolong Setiausaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari tahun 1964 hingga 1968.
“Selepas itu, berkhidmat di Kementerian Kewangan dari 1975 sebelum menjadi KSP dan bersara daripada perkhidmatan awam pada 1997,” kata Istana Negara.
Malah, mendiang pernah menjadi gabenor alternatif Bank Dunia dari 1994 hingga 2000, Pengerusi Lapangan Terbang Antarabangsa KL yang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Herbert turut dilantik sebagai ahli lembaga pelbagai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antaranya Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Airline System Berhad, PETRONAS, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.
“Selain itu, mendiang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan Pengerusi Kumpulan Wang Amanah Pencen,”jelasnya.
Mendiang turut aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya. – Malaysiapost