FILEM mengisahkan perjalanan tokoh reformasi Malaysia, ‘Anwar, The Untold Story’ bakal menemui penonton melalui tayangan perdana di Dali Cinema Pavilion, Kuala Lumpur, malam ini.
Majlis tayangan itu bakal turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Filem mengisahkan jatuh banguh tokoh reformasi tersebut bakal dihadiri 258 tetamu VIP terdiri daripada industri hiburan, tokoh politik dan selebriti.
Filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu, menampilkan pelakon, Farid Kamil yang membawa peranan sebagai Anwar manakala Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Filem itu digarap berdasarkan kisah sebenar dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1993 hingga dipecat pada 1998.
Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan kos RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam pada 18 Mei ini.
Pada 1 Mac lalu, Penerbit Eksekutif filem Anwar, Zulkiflee Anwar Haq (Zunar) berkata, pembikinan filem itu mengambil masa hampir 12 tahun berikutan terdapat banyak halangan dalam menghasilkan penerbitan tersebut.
Jelasnya, sikap integriti yang ada pada tokoh politik itu yang membuatkannya nekad untuk terlibat dalam pembikinan filem. – Malaysiapost