KERAJAAN disaran mengehadkan perbelanjaan setiap parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai cara terbaik untuk menghapuskan rasuah.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selain itu kerajaan boleh mengehadkan pemasangan bendera, sepanduk atau papan iklan bagi satu-satu kawasan yang ditandingi.
“Katakanlah jika parti letak calon dalam satu kawasan, hanya 100 bendera, 20 sepanduk dan 2 papan iklan dibenar, maka kos kempen tidak akan menjadi tinggi.
“Saingan antara parti yang kaya dan yang miskin akan jadi lebih adil,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Menurut Dr Mahathir, melalui cara itu keghairahan memasang bendera, sepanduk dan papan iklan dikurangkan sekali gus menjadikan pertandingan lebih adil.
“Yang kurang kewangan pun boleh harap menang. Di masa yang sama rasuah akan dikurangkan kerana kempen tidak perlu dana yang besar,” jelasnya.
Dr Mahathir yang kini ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) percaya sogokan juga boleh dikurangkan dengan orang ramai menggunakan kamera untuk merekod dan melapor.
“Pihak polis dan badan pencegah rasuah juga boleh menggunakan kamera,” katanya.
Beliau turut mencadangkan mana-mana individu yang dikesan terbabit dengan tiga kes sogokan perlu dibatalkan pencalonannya.
“Memang sogokan kepada pengundi boleh disembunyi tetapi amalan sogokan secara terbuka seperti dilakukan dalam PRU15 akan dikurangkan. Sedikit sebanyak ia berkesan dalam pengurangan sogokan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya terdapat kes dikenakan tindakan, parti-parti akan lebih berjaga-jaga dan tidak akan sogok wang secara yang boleh dikesan. – Malaysiapost