Ismail Sabri lawat bekas wartawan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat mantan wartawan Berita Harian, Jamhariah Jaafar, di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi catatan di Facebook miliknya, Ismail Sabri turut mendoakan kesembuhan buat Jamhariah yang dikenalinya sejak beliau bertugas di Berita Harian.

“Saya kenal Puan Jamhariah atau lebih mesra dengan panggilan Jem sewaktu beliau bertugas sebagai pemberita di Berita Harian.

“Ketika itu, saya bertugas sebagai Setiausaha Politik Tan Sri Sabbaruddin Chik, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

“Jem sangat aktif membantu nelayan bagi mendapatkan pendapatan tambahan melalui projek menternak batu karang atau ‘coral’ bersama kerajaan negeri Terengganu ketika saya menjadi menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” tulisnya.

Ismail Sabri turut memuat naik beberapa keping gambar termasuk bersama kakitangan HKL.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada semua kakitangan di wad Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman, HKL, yang memberikan perkhidmatan yang baik bagi membantu pemulihan Jamhariah.

Difahamkan Jamhariah yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di tulang belakang telah dibenarkan pulang ke rumahnya petang semalam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights