Isu OPR: ‘Jangan terikut-ikut sentimen pembangkang’ – Rafizi tegur Hassan

Isu OPR: ‘Jangan terikut-ikut sentimen pembangkang’ – Rafizi tegur Hassan

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa ‘kebimbangan’ yang dinyatakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), sebagai suatu kesilapan.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, keputusan undian rakyat bukan bergantung kepada isu OPR atau Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata tetapi turut dipengaruhi banyak faktor lain.

“Jika dia (Hassan) takut isu OPR dan KWSP menjejaskan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dia silap. Ada banyak lagi faktor yang akan menjejaskan pengundian,” katanya.

Menurut Rafizi lagi, beliau ada bertemu dan berbincang panjang lebar dengan Hassan sebelum Ahli Parlimen Pasir Gudang itu membuat kenyataan mengenai kebimbangannya terhadap kenaikan OPR.

“Kami bertemu pada hari Jumaat, malam sebelum dia membuat kenyataan (kenaikan OPR). Saya beritahu dia supaya jangan terikut-ikut sentimen pembangkang. Saya sudah beritahu dia,” katanya.

Dalam pada itu Rafizi berkata, Hassan sebenarnya boleh berhubung dengannya atau Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung untuk bertanyakan sebarang soalan.

Jelas Rafizi lagi, walaupun beliau tidak menerima taklimat peribadi daripada Bank Negara berhubung justifikasi mereka menaikkan OPR tersebut, namun beliau bersetuju dengan langkah itu bagi menyokong nilai ringgit di pasaran pertukaran asing.

“Jika kita tidak menaikkannya, kita mungkin menghadapi masalah untuk menarik dan mengekalkan pelabur asing ke Bursa Malaysia.

“Jadi, kenaikan itu adalah rancangan jangka panjang Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Hassan yang meminta penjelasan daripada Anwar dan Rafizi berhubung kenaikan OPR pada 3 Mei lalu yang sebelum ini dinafikan.

Hassan berkata, penjelasan tersebut penting terutama tidak lama lagi Kerajaan Perpaduan akan berdepan PRN di enam negeri. – Malaysiapost

Komen