AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menyifatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang umpama lalang politik.
Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu bahawa PAS dan Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai banyak titik persefahaman dalam usaha menyatukan orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Haji Hadi ini akan cakap apa sahaja untuk kepentingan politik. Dia ini macam lalang politik. Saya ingat lagi masa Najib (Razak) PM dia peluk cium Najib dan Umno.
“Selepas Umno tidak lagi berkuasa dia u-turn dan kata Umno sudah keruh. Tapi bila Muhyiddin (Yassin) dan PN kena dakwa kes rasuah dan skandal Jana Wibawa, dia diam dan tidak kata Muhyiddin keruh pula.
“Dulu dia gelar Mahathir macam-macam dan suruh bertaubat berkenaan pembunuhan Memali,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Isham menambah, apabila kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018, Abdul Hadi mengunjungi Dr Mahathir dan meminta wang ehsan untuk Kelamtan dan Terengganu.
“Selepas Mahathir beri wang ehsan, dia janji akan sokong Mahathir jika berlaku undi percaya di Parlimen. Tetapi bila dia jumpa Agong untuk menyatakan sokongan, dia tikam belakang Mahathir dan sokong Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri.
“Dan bila Muhyiddin jadi PM dia peluk Muhyiddin pula. Sekarang dia peluk dan bodek Mahathir semula sebab pilihan raya nak dekat dan dia mahu guna Mahathir untuk tarik sokongan Melayu Mahathir.
“Hai Haji Hadi. Muslihat itu bukan semuanya baik, kerap kali penipuan adalah penipuan dan bukan muslihat. Dan lebai tidak baik menipu,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Abdul Hadi berkata walaupun Dr Mahathir mempunyai perselisihan dalam banyak perkara dengan PAS, namun kedua-dua pihak ada banyak titik persefahaman.
Presiden PAS itu berkata, titik persefahaman dengan bekas Perdana Menteri itu wajib diambilkira untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu.
Abdul Hadi antara pemimpin PAS yang dilapor menandatangani Proklamasi Orang Melayu diterajui Dr Mahathir ketika bertemu dengan Pengerusi Gerakan Tanah Air itu di rumahnya, Selasa lalu.
Menurut Abdul Hadi, perbincangan antara lain menyentuh wajibnya perpaduan Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti masyarakat majmuk.
Abdul Hadi berkata, perpaduan bangsa Melayu yang menjadi tonggak Islam dalam negara ini wajib dilaksanakan bagi mengukuhkan kekuatan Islam. – Malaysiapost