Kalau ada bukti dedahkanlah di mahkamah, kata Tun M kepada Anwar

Kalau ada bukti dedahkanlah di mahkamah, kata Tun M kepada Anwar

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hairan dengan tindak-tanduk Datuk Seri Anwar sejak akhir-akhir ini.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri bahawa ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan beliau mempunyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan tersebut.

“Kalau sudah ada dedahlah dan tuduhlah di mahkamah. Tetapi tidak. Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.

“Dedahlah kekayaan di masa jadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit kerajaan.

“Di masa yang sama Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.

“Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, Anwar sebaliknya perlu menunjukkan bukti di mahkamah jika ada bukti mengenai kekayaan beliau.

“Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia.

“Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar,” katanya lagi.

Kelmarin Perdana Menteri mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.

Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.

Namun apabila mereka tidak lagi berkuasa, isu membabitkan penyatuan serta kekuatan orang Melayu baru dibangkitkan dan diperjuangkan individu berkenaan.

“Saya hendak beritahu pembesar, Tun, Tan Sri yang kaya ini, kalau betul hendak tolong Melayu, yang kamu ambil berpuluh bilion itu (ketika pentabiran), bagi setengah (daripadanya) kepada orang Melayu.

“Tun Daim (Zainuddin) ke Tun Mahathir (Mohamad), saya tidak peduli, berapa kekayaan, RM10 bilion, RM15 bilion, kalau betul hendak (cakap) hidup Melayu dan perjuangkan (hak) Melayu, yang kamu sakau itu kembalikan kepada orang Melayu,” katanya. – Malaysiapost

Komen