BERSATU masih menunggu jawapan daripada bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar untuk menyertai parti itu atau sebaliknya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasrat tersebut sudah disampaikan hampir dua minggu yang lalu semasa majlis sambutan Hari Raya.
“Belum ada jawapan lagi dan kami masih menanti jawapan dia. Ketika saya tanya adakah dia akan kembali bersama Umno, Khairy jawab no.
“Saya tanya lagi macam mana dengan parti lain, dia juga kata tidak, tetapi Bersatu dia hanya diam.
“Jadi kita tunggu sajalah apa katanya nanti,” katanya kepada media pada sambutan majlis Hari Raya anjuran Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, buat masa ini, beliau memberi masa buat bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk membuat pilihan.
“Ada yang cakap Khairy ini mampu bawa suara orang muda dan kaum lain untuk parti. Tengok saja nanti macam mana.
“Setakat ini, apa yang saya boleh cakap, tidak ada paksaan untuk Khairy tetapi kami berlapang dada jika dia bersama kami,” katanya.
Januari lalu, Khairy dipecat daripada Umno bersama beberapa pemimpin lain kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyertaan Khairy bersama Bersatu bakal mengukuhkan kekuatan Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi. – Malaysiapost