KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik Covid-19 di negara ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia dibuat selari dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), baru-baru ini.
Berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19 di negara ini, beliau berkata, KKM turut melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.
Beliau berkata, pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan perlu dilakukan sebagai memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes Covid-19 di mana-mana tempat selain hospital.
“Ia juga sejajar keperluan majikan menanggung kos rawatan dan pengujian Covid-19 yang diarah oleh pegawai diberi kuasa untuk dijalankan kepada pekerjanya.
“Penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 di Malaysia dijangka dilaksanakan pada pertengahan Jun ini bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan untuk menentukan hala tuju seterusnya.
“Justeru, KKM akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan Covid- 19 berdasarkan protokol sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jawatankuasa Darurat International Health Regulations yang berlangsung 4 Mei lalu di Geneva memutuskan Covid-19 bukan lagi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa.
Mengenai penularan Covid-19, Dr Zaliha berkata, Minggu Epidemiologi ke-18 (ME 18/2023) iaitu dari 30 April hingga 6 Mei lalu, sebanyak 7,596 kes Covid-19 dilaporkan.
“Peratusan kes Covid-19 yang dilaporkan pada ME 18/2023 meningkat 53.1 peratus, berbanding 4,963 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
“Kadar kemasukan pesakit (termasuk pesakit yang disyaki Covid-19) ke fasiliti kesihatan awam turut meningkat daripada 5.8 kepada 7.2 bagi setiap 100,000 penduduk pada Minggu Epidemiologi 18/2023 berbanding ME 17/2023,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun keadaan jangkitan Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan di hospital tidak terjejas. – Malaysiapost