KWSP: Saya hanya sampaikan salam rakyat kepada Perdana Menteri, kata Wan Saiful
DATUK Wan Saiful Wan Jan berkata beliau hanya menyampaikan salam rakyat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung desakan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata rakyat juga tahu perjuangan menuntut KWSP bersasar bukan langkah popular.
Beliau menambah, perjuangan menuntut pengeluaran KWSP adalah isu rakyat dan jauh sekali pembangkang menjadi popular menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)
“Anwar kata “walaupun terdapat banyak tekanan politik untuk meluluskan pengeluaran…”, pelik…dari mana tekanan politik yang Anwar dapat? Rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, tapi dapat FSA2 i-Cagar. Order lain, dapat lain.
“Rakyat hilang kerja, kereta motor kena tarik, sewa rumah tak dapat nak bayar, ini bukan tekanan politik. Ini juga bukan modal PRN enam negeri. Ini realiti pencarum hadapi kini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu pagi tadi, Anwar berkata beliau menjangkakan isu pengeluaran caruman KWSP akan terus dipolitikkan semasa kempen PRN di enam negeri.
Perdana Menteri berkata, beliau bersedia untuk berdepan perkara itu bagi memastikan KWSP tidak lari daripada landasannya sebagai simpanan hari tua pekerja.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, persoalan yang beliau ajukan kepada Anwar kelmarin mengenai nasib pencarum yang disenaraihitam, diluluskan permohonan oleh MBSB tetapi dana disekat, masih tidak dijawab.
“Permohonan lulus, duit tak dapat, tapi kena bayar ansuran bulanan. Ini menimbulkan keresahan mereka yang menuntut Menteri Kewangan beri penyelesaian.
Anwar janganlah lari dari masalah ini. Rakyat dah kirim salam tu,” katanya. – Malaysiapost