Lynas diberi 6 bulan lanjutan elak rantaian nadir bumi global terkesan

BAGI mengelak rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global terkesan, kerajaan memutuskan memberi lanjutan tempoh operasi selama enam bulan lagi kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas). 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata berkuatkuasa 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji pemecahan dan peresapan (C&L) di luar negara mula beroperasi kerana syarikat itu tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

Katanya, keputusan itu muktamad berdasarkan Seksyen 32(5) Akta Perlesenan Tenaga Atom dan ia dibuat selepas mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam.

“Kerajaan memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited untuk memastikan sebarang urusan perniagaan yang dijalankan berkaitan industri terbabit tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

“MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan industri nadir bumi di Malaysia berkembang secara bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta piawaian yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan memberikan Lynas tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

Menurutnya, lanjutan masa itu bagaimanapun disertai syarat ketat dan akan sentiasa dipantau.

Mengulas keputusan itu, Lih Kang berkata, satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lalu bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan syarikat itu menggugurkan empat syarat lesen ditetapkan sebelum ini.

“Selepas proses pertimbangan dibuat, saya memutuskan untuk menolak rayuan pengguguran empat syarat lesen terbabit.

“Bagaimanapun, mengambil kira kesan keputusan berkenaan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, saya bersetuju melanjutkan tempoh operasi kilang C&L berkenaan sehingga 31 Disember,” katanya.

Sebelum ini, MOSTI telah mengadakan tribunal tertutup untuk mendengar rayuan Lynas terhadap empat syarat yang dikenakan terhadap syarikat itu oleh AELB.

Ia termasuk aktiviti C&L, penjanaan residu ‘water leach purification’ (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Mengikut Akta Pelesenan Tenaga Atom, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mempunyai kuasa untuk memutuskan rayuan Lynas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights