Pembantu jurulatih ditahan cabul pelancong ketika selam skuba

POLIS menahan seorang pembantu jurulatih selam skuba selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China, di Semporna, Sabah, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintendan Arif Abdul Razak, berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah penginapan atas air, selepas mangsa membuat laporan jam 10.03 pagi, Sabtu lalu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari Jumaat lalu.

“Mangsa mendakwa dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebaik laporan dibuat, mangsa kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.

Katanya, suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan reman telah dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights