Ben Ibrahim
SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) menyambut baik titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar segala peruntukan disalur secara adil.
Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, titah baginda itu perlu dianggap sebagai satu arahan kepada kerajaan negeri.
“Tuanku turut menyentuh soal peruntukan kepada Adun dan kami pembangkang merakamkan penghargaan tinggi kepada Tuanku.
“Secara langsung satu arahan dikeluarkan kepada kerajaan supaya membahagi dan menyalurkan peruntukan kepada semua Adun kerana Tuanku ada menitah kami dipilih oleh rakyat, jadi disebabkan itu peruntukan harus disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat PN, di Kuantan, hari ini.
Tambahnya lagi, beliau berharap kerajaan negeri mengambil respon titah Tengku Hassanal untuk menyalurkan peruntukan pembangkang untuk pusat khidmat dan pembangunan.
“Bagi kami peruntukan ini penting terutama sekali berkaitan dengan peruntukan kecil. Katakanlah berlaku ribut di suatu kawasan, mangsa akan datang ke pusat khidmat, dana perlu disalurkan segera.
“Bukan salur secara terus kepada Adun, ia disalurkan kepada pejabat daerah, cuma geran sahaja kita minta diserahkan kepada kita, bukan dalam bentuk wang tunai,” katanya.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, kali terakhir Adun pembangkang menerima peruntukan dari kerajaan negeri adalah pada 2019 dan 2020.
“Ketika itu di bawah Muafakat Nasional (MN) di mana kami menerima peruntukan sebagaimana Adun lain. Namun ia terhenti selepas PRN Melaka dan Johor sehinggalah sekarang.
“Kami tidak dimaklumkan secara rasmi mengapa peruntukan tidak disalurkan tetapi diberitahu ia disalur kepada penyelaras DUN, tapi kami tidak tahu siapa penyelaras itu.
“Justeru dalam sidang dewan ini nanti, kami akan minta pihak kerajaan negeri memberi senarai nama penyelaran itu,” katanya. – Malaysiapost