PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, lanjutan masa itu akan disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau.
“Saya rasa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang akan memberikan penjelasan terperinci, tetapi daripada pemahaman kami, lanjutan adalah dengan syarat dan dipatuhi dengan ketat,” katanya.
Sebuah portal berita semalam melaporkan Lynas diberikan lanjutan masa itu susulan rayuan dikemukakan syarikat itu berhubung empat syarat dikenakan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Rayuan itu dilihat sebagai usaha terakhir untuk memastikan pengeluar nadir bumi itu boleh meneruskan operasi di kilang mereka di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai.
Lynas sebelum ini berulang kali mempertahankan bahawa kilangnya selamat dan menegaskan pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia. – Malaysiapost