PRN 6 negeri: Anwar jangka isu pengeluaran KWSP jadi senjata pembangkang

DATUK Seri Anwar Ibrahim menjangkakan isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus dipolitikkan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Perdana Menteri berkata, beliau bersedia untuk berdepan perkara itu bagi memastikan KWSP tidak lari daripada landasannya sebagai simpanan hari tua pekerja.

Anwar mengakui, beliau antara yang lantang memperjuang pengeluaran caruman KWSP kerana situasi mendesak dan darurat ketika penularan Covid-19.

“Pada masa itu terdesak, darurat… sekarang sudah berubah, sudah boleh bekerja.

“Saya percaya ini akan terus dimainkan termasuk di dalam enam PRN, namun kita tidak gusar,” katanya pada Majlis Perasmian Menara KWSP Kwasa Damansara di Sungai Buloh, hari ini.

Pembangkang sebelum ini menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi mereka yang terkesan.

Pada 27 Februari lalu, pembangkang menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar caruman KWSP, kepada golongan memerlukan dengan mencari satu mekanisme sesuai.

Desakan itu disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar, di Dewan Rakyat.

Pada 20 Mac lalu,  Perdana Menteri menteri menegaskan kerajaan perlu mencari jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana pelaburan negara itu tidak terjejas.

Sementara itu, Anwar menggesa KWSP untuk menaikkan kadar pelaburan dalam negara kepada 70 peratus.

Katanya, ia penting kerana matlamat penubuhannya untuk membantu para pencarumnya supaya mendapat manfaat selepas bersara.

“Saya lihat KWSP pelaburan tinggi 64 peratus dalam negara, saya cuma mahu agar pelaburan dalam negara mencecah  70 peratus.

“Untuk keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan sebahagian rakyat. Pelaburan betul strategik tapi infrastruktur strategik macam SMART Tunnel oleh KWSP, saya akui berkesan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights