MASALAH bekalan air di Kelantan yang tidak berkesudahan didakwa berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik peruntukan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) pada 1990.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, bantuan-bantuan lain untuk Kelantan turut disekat dan amalan itu diteruskan oleh kerajaan hari ini.
Justeru, beliau menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, menggunakan pelbagai kaedah mendapatkan air adalah contoh kebijaksanaan dan kesungguhan pemimpin PAS dalam membantu rakyat.
“Inilah kesan sekatan bantuan air oleh Persekutuan bermula penarikan semula peruntukan bagi projek BAKU 1990 di Kelantan dan sekatan-sekatan bantuan selepas itu dan malangnya diteruskan oleh kerajaan hari ini.
“Cybertroper Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) tidak perlu meloncat di dahan yang rapuh dalam isu ini, dikhuatiri jatuh bersekali pokok.
“Memperkecil usaha pimpinan negeri membantu rakyat ditindas kerajaan Persekutuan yang terus-terusan berdendam politik adalah langkah sadis yang memualkan,” katanya dalam kenyataan Facebook.
Sebelum ini, Siti Zailah dikecam pelbagai pihak kerana didakwa menyalahgunakan kemudahan pili bomba bagi mendapatkan bekalan air untuk orang ramai di Rantau Panjang dalam situasi kemarau ketika ini.
Namun, beliau menafikan dakwaan tersebut dan sudah mendapat kebenaran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin menafikan kebenaran telah diberikan pihaknya. – Malaysiapost