KERAJAAN Perpaduan akan menyerahkan kepada kepimpinan negeri untuk memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kepimpinan Kerajaan Perpaduan menerima siapa sahaja yang dicalonkan sama ada dari Umno mahupun Pakatan Harapan (PH) dan ia bukan isu yang boleh dipertikai.
Katanya, namun untuk menjadikan ia kemas, senarai nama itu perlu dihantar kepada pimpinan Pusat.
“Ia diterima macam negeri dipimpin Umno, kita terima beberapa negeri lain dipimpin komponen PH.
“Kita terima, saya ingat itu bukan isu dipertikai, tapi saya serah kepada kebijaksanaan pimpinan di negeri harus mulakan secara lebih kemas dan kemuka kepada pimpinan Pusat,” katanya.
Beliau mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan bagi mendepani PRN di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menurut Anwar lagi, persiapan antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN akan diputuskan dalam tempoh terdekat, ini termasuklah mengenai rundingan pembahagian kerusi, calon dan strategi kempen. – Malaysiapost