AHLI Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang didakwa mengambil air pili bomba tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyerahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, jabatan itu boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
“Mengikut Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana pihak mencuri atau mengambil air dari pili bomba tanpa kebenaran.
“Mereka yang mahu ambil air dari pili bomba perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak bomba.
“Ini penting kerana apabila berlaku kebakaran, pihak bomba akan mengalami kesukaran dari segi tekanan dan isi padu air sekali gus boleh menjejaskan keselamatan rakyat,” katanya selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Siti Zailah yang didakwa menggunakan air dari pili bomba tanpa kebenaran untuk dihantar kepada penduduk yang terjejas dan terputus bekalan air.
Siti Zailah bagaimanapun memaklumkan beliau sudah mendapat kebenaran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta JBPM.
Namun, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasain menafikan ada menerima permohonan daripada Ahli Parlimen itu untuk mengambil air di pili bomba.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan kompaun RM100 hingga RM500, namun jika kesalahan kedua tidak boleh dikompaun dan akan didakwa di mahkamah.
Beliau turut menggesa individu terbabit supaya memohon maaf kepada JBPM dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.
“Ahli Parlimen berkenaan mendakwa mendapat kebenaran daripada bomba, tapi dalam siasatan kita jelas yang Pengarah JBPM negeri sudah mengesahkan bahawa tiada sebarang kebenaran diberikan.
“Jadi, saya serahkan kepada pihak bomba dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan akta tersebut,” katanya. – Malaysiapost