KONVENSYEN Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini mampu untuk menjadi medan penyatuan parti-parti komponen bagi membentuk Malaysia yang cemerlang.
Ketua Penerangan Puteri Umno, Shamellya Norazizi berkata konvensyen itu mampu menjadi pentas solidariti parti-parti komponen dalam sebuah keluarga baharu.
“Dalam konvensyen Madani nanti pastinya kita mahu bersolidariti bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menunjukkan ini adalah keluarga baharu yang bersama kita dalam Malaysia Madani.
“Kita harap rakyat menerima baik sambutan ini dan daripada situlah kita nak panjangkan sehingga ke akar umbi. Kalau boleh, biar berkekalan sehingga demi kesejahteraan rakyat,” katanya memetik Umno Online.
Beliau turut memaklumkan beberapa perancangan telah dibuat oleh Puteri Umno bagi menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri tidak lama lagi.
“Kami telah melakukan beberapa perancangan dan pastinya ia memfokuskan kepada media sosial. Sebelum ini, kita buat beberapa bengkel dry-run untuk TikTok kerana kita melihat ia platform utama anak muda.
“Selaku sayap bongsu mewakili wanita muda, kita nak tackle isu-isu semasa dan dalam masa sama kita nak beri penerangan kepada tentang apa sebenarnya berlaku sekarang ini.
“Jadi, kebanyakan persiapan yang telah dilakukan lebih memfokuskan kepada media sosial, tidak dilupakan juga kepada ground persiapan PRN,” katanya lagi.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ akan diadakan pada 14 Mei 2023.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata, konvensyen itu bakal menjadi titik tolak dalam mewujudkan persefahaman antara parti politik dan mempertahan kestabilan negara. – Malaysiapost