Kumpulan wanita warga asing dicekup minta sedekah di Genting Highlands 

POLIS menahan empat wanita warganegara asing kerana disyaki terbabit dalam sindiket kegiatan meminta sedekah dan mengganggu ketenteraman awam di Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kegiatan kumpulan wanita berkenaan turut tular di Facebook hari ini melalui video berdurasi 23 saat.

Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 34 tahun itu telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Genting Highlands untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati empat wanita warganegara asing berkenaan telah menjalankan kegiatan meminta wang daripada orang ramai di sekitar Genting Highlands sejak 5 Mei lalu dan perbuatan itu telah mendapat aduan daripada orang ramai.

“Kesemua suspek menggunakan kaedah memujuk dan merayu untuk meminta sedekah dengan orang ramai di kawasan First World Hotel dan kawasan Genting Malaysia Berhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 27(C) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-Peminta Sedekah) iaitu sesiapa yang meminta sedekah di tempat awam dan boleh mencari pekerjaan sah untuk hidup, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 atau penjara sebulan atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes ini dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Terdahulu tukar video berdurasi 23 saat yang dimuatnaik di laman Facebook ‘Penang Kita Penang Kia’ yang memaparkan tindakan kumpulan wanita yang dilihat cuba meminta wang daripada seorang lelaki.

Seorang daripada wanita berkenaan turut memarahi individu yang merakamkan kegiatan mereka. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights