Malaysia terus main peranan signifikan dalam ASEAN – PM

MALAYSIA bertekad untuk terus memainkan peranan signifikan dalam keanggotaan ASEAN khususnya pembangunan, ekonomi, sosio-budaya, keselamatan dan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama Malaysia akan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan hubungan bersama negara ASEAN.

“Hari ini saya dan delegasi berlepas ke Labuan Bajo, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.

“InsyaAllah, Malaysia sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan hubungan bersama negara tetangga di ASEAN dengan berteraskan semangat Madani dan gagasan ASEAN,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan berlangsung mulai esok hingga 11 Mei 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Menurutnya, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Pemukiman Sidang Kemuncak, Anwar turut mengambil bahagian dalam perbincangan suamuka antara pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan pasukan petugas peringkat tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) serta mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15 yang dijadualkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam pelbagai isu, termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi lauar serta perkembangan serantau dan antarabangsa.

Ini termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara berlatarbelakangkan ketidakstabilan, keselamatan serta sosio ekonomi di rantau ini.

Ketika di Labuan Bajo, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan di sela-sela mesyuarat dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights