AIR Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan penggunaan air daripada pili bomba hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan atas kepentingan awam sahaja.
Menurutnya, mengikut Seksyen 42(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, AKSB selaku pemegang lesen perkhidmatan air hendaklah membenarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengambil air bagi memadamkan kebakaran daripada mana-mana sesalur air utama atau paip lainnya yang dipasang dengan pili bomba.
Sementara itu, katanya, mengikut Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1998 membenarkan pihak berkuasa air dan ejennya (AKSB) untuk menggunakan mana-mana pili bomba atau aliran air kepadanya.
“Persefahaman dengan JBPM telah dibentuk berkenaan hal ini khususnya dalam menghadapi saat-saat kecemasan dan atas kepentingan awam,” katanya hari ini.
Kenyataan itu turut dikongsi Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menerusi Facebook miliknya.
Sebelum ini, Siti Zailah menafikan menggunakan air dari pili bomba tanpa kebenaran untuk dihantar kepada penduduk yang terjejas dan terputus bekalan air.
Menurutnya, beliau sudah mendapat kebenaran daripada AKSB serta JBPM dan kerja-kerja menyediakan bekalan air itu mendapat kerjasama daripada Balai Bomba Rantau Panjang.
Namun, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasain menafikan ada menerima permohonan daripada Ahli Parlimen itu untuk mengambil air di pili bomba.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pula menyerahkan kepada JBPM untuk menjalankan siasatan lanjut. – Malaysiapost