Tiada kecurian air – Siti Zailah

Tiada kecurian air – Siti Zailah

AHLI Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menjelaskan tindakan mengambil air daripada pili bomba untuk menjimatkan masa selain mengelak jalan raya menjadi sesak.

Menurutnya, beliau bertindak demikian untuk membantu syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar bekalan air kepada penduduk di kawasan Rantau Panjang yang terputus bekalan.

“Apabila kita nak hantar air kepada penduduk baru-baru ni, dekat dengan musim perayaan dalam seminggu nak raya dengan lori nak angkat air ni bersusun dalam jalan ‘jammed’ dan bahaya, sebab lori besar, berat.

“Sebab itulah Kak Lah berbincang dengan pihak AKSB, bomba lagu mana kita nak (buat) supaya tidak mengganggu laluan jalan.

“Pihak AKSB cadangkan supaya manfaatkan pili bomba sebab di Kelantan berbeza dengan negeri lain,” katanya dalam penjelasan melalui TikTok hari ini.

Ia dikeluarkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri (UPKN) Kelantan.

Jelas Siti Zailah lagi, negeri lain saluran paip untuk kegunaan bomba berbeza daripada saluran bekalan air kepada orang awam.

Di Kelantan, katanya, bekalan air yang disediakan untuk masyarakat dan kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah sama.

“Paip bomba dan air AKSB aksesnya sama, jadi sebenarnya paip bomba tidak ada bekalan air sendiri.

“Apa yang ada melalui paip bomba yang digunakan untuk (memadam) kebakaran (atau) kecemasan adalah air AKSB,” katanya.

Siti Zailah kini berdepan dengan siasatan selepas didapati mengambil air melalui pili bomba untuk diedarkan kepada penduduk yang berdepan masalah bekalan di Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, sebelum mengambil air di pili bomba tersebut pihaknya sudah bermesyuarat dengan exco Kelantan dan AKSB.

“Alhamdulillah air itu kita dapat dari sumber air AKSB tetapi untuk menjimatkan masa dengan cepat maka ambil air itu diambil melalui pili bomba yang berdekatan,” katanya.

Malah, beliau berkata, anggota bomba sendiri yang membantu memudahkan proses tersebut.

“Jadi tidak ada isu sebenarnya orang tempatan sini semua tahu tidak ada kecurian air.

“Kalau nak curi pun bukan curi untuk Kak Lah tetapi untuk rakyat yang memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Berita Harian

Komen