3 ditahan bersama pistol dan senjata api buatan sendiri

POLIS Johor merampas pelbagai senjata termasuk senapang buatan sendiri hasil pemeriksaan terhadap tiga lelaki tempatan yang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran Masjid Jamek Al-Ikhwan, Gugusan Adela, Kota Tinggi awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melakukan pemeriksaan terhadap tiga lelaki berusia 33 hingga 39 tahun itu pada jam 1 pagi.

Menurutnya,  dua senapang angin, senapang patah dan sepucuk pistol antara yang dirampas daripada ketiga-tiga lelaki berkenaan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah merampas pistol jenama Beretta Gardone VT, satu kelopak berisi empat peluru 9 milimeter (mm), pisau dan senapang patah buatan sendiri bersama tiga butir peluru penabur serta tiga lagi peluru penabur pelbagai jenama.

“Turut ditemui, satu plastik lutsinar disyaki ganja seberat 0.9 gram, dua balutan aluminium merah disyaki Eramin 5 seberat 0.44 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, hari ini.

Beliau berkata, dengan dipandu arah seorang daripada suspek yang ditahan ke sebuah rumah di Felda Tunggal, Kota Tinggi dan menjumpai dua lagi senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru penabur, tiga kelongsong peluru penabur dan sepuluh biji guli.

“Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah, manakala seorang berstatus dikehendaki polis sejak 2016.

“Reman selama tiga hari ke atas semua suspek bermula hari ini hingga 12 Mei ini,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960; Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Kontinjen Johor memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti memiliki senjata api tanpa lesen,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights