Guan Eng dakwa Hadi ancaman kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan

KENYATAAN Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa masyarakat bukan Islam negara ini sering memberi ancaman kepada orang Melayu, sebagai perbuatan mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata Abdul Hadi secara terang-terangan sering menyasar masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini atas pelbagai sebab.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi itu bersifat karut dan boleh mendatangkan bahaya kepada negara, lapor Berita Harian.

“Hadi kini sering menyalahkan orang bukan Islam dan bukan Melayu ini sebagai kumpulan perompak besar serta paling banyak memberi dan menerima rasuah. Ini adalah karut kerana kerana kegiatan rasuah itu tidak mengenal siapa dan ia dihadapi oleh semua masyarakat.

“Beliau juga secara terang-terangan mendedahkan PAS kini sedang mengejar kuasa dalam pelbagai cara termasuk menyasar orang bukan Islam dan mengeksploitasi taktik pelampau dan perkauman bahawa golongan itu sebagai ancaman kepada orang Melayu.

“Kegagalan kerajaan sebelum ini mendorong Hadi melakukan serangan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab terhadap orang bukan Islam. Hadi tidak malu mengulangi pembohongan bahawa kumpulan minoriti memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dengan peratusan keluar mengundi lebih tinggi daripada Melayu, walaupun sebenarnya orang Melayu mempunyai peratusan keluar mengundi tertinggi daripada semua masyarakat iaitu 79 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan Abdul Hadi mengenai kehilangan kuasa orang Islam di negara ini.

“Bagaimana boleh hilang kuasa sedangkan semua jawatan penting dalam negara ini dipegang oleh orang Melayu dan Islam. Malah dalam Kabinet yang dianggotai oleh 28 orang ini juga, hanya sembilan menteri dalam kalangan bukan Islam.

“Selain itu daripada 148 ahli parlimen kerajaan, sejumlah 77 daripadanya adalah beragama Islam iaitu lebih ramai daripada 72 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Guan Eng meminta rakyat Malaysia untuk bersama-sama membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi bagi menghentikan politik pecah belah dan bersifat perkauman sekali gus memberi ancaman perpaduan serta integrasi nasional.

Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, dalam perkongsian di Facebook, mendakwa orang Melayu kini ‘ditipu secara terbuka’ kerana orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah ‘perompak besar. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights