Guan Eng terima laporan perbualan WhatsApp saksi utama

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Lim Guan Eng sudah menerima laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan berhubung isu wang RM2 juta yang ditimbulkan pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, memaklumkan pihak pendakwaan menyerahkan laporan itu kepada pihak pembelaan pada 18 April lalu.

Ia kemudian disahkan oleh peguam Haijan Omar bahawa ia diterima pada hari yang sama, lapor Utusan Online. 

Hakim Azura Alwi mengambil maklum perkara tersebut dan menetapkan perbicaraan disambung pada 18 Julai seperti dijadualkan sebelum ini.

Hari ini ditetapkan untuk kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan penyerahan laporan forensik itu berikutan keputusan mahkamah pada 5 April lalu yang membenarkan permohonan pihak pembelaan mendapatkan dokumen tersebut.

Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Azura memutuskan demikian selepas berpuas hati wujud dua keterangan berbeza di Mahkamah Shah Alam dan di ibu negara berkenaan tujuan penyerahan wang RM2 juta dan kepada siapa ia diserahkan melibatkan baucar pembayaran dan cek.

Azura berkata, nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi dalam kes di Shah Alam yang dikemukakan sebagai eksibit dalam kes di sini menunjukkan wang RM2 juta dikeluarkan melalui baucar pembayaran dan cek Public Bank dan dikatakan diserahkan kepada Gnanaraja.

Katanya, dalam kes di ibu negara, keterangan juga menunjukkan baucar pembayaran dan cek yang sama dikemukakan dan telah ditandakan sebagai eksibit P140 dan P141 namun wang RM2 juta itu dikatakan diserahkan kepada Guan Eng.

Azura menjelaskan, keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berkenaan wang tersebut melalui perbualan WhatsApp antara Zarul Ahmad dan Ganarajah manakala laporan analisis digital forensik kemudian disediakan oleh pihak SPRM.

Dalam kes Guan Eng di ibu negara, Azura berkata, laporan analisis digital forensik telah dikemukakan namun laporan itu tidak dikemukakan di Shah Alam.

“Terdapat dua versi keterangan berbeza di dua mahkamah mengenai tujuan penyerahan dan kepada siapa diserahkan wang RM2 juta yang melibatkan baucar pembayaran dan cek.

“Mahkamah berpuas hati fakta yang menyeluruh haruslah dibentangkan dan dikemukakan agar kebenaran dapat diketahui,” katanya. 

Azura menegaskan, pemohon perlu mendapat laporan analisis digital forensik dan laporan pengadu dalam kes di Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil.

Pada 23 Mac lalu, Azura mendengar penghujahan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib serta peguam Gobind Singh Deo dalam permohonan tersebut.

Pihak pendakwaan membantah permohonan itu atas alasan ia tiada kaitan dengan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapi oleh Guan Eng, laporan forensik itu tidak pernah dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah Shah Alam selain telah dikategorikan sebagai dokumen rahsia.

Bagaimanapun, pihak pembelaan menghujahkan agar permohonan itu dibenarkan bagi membuktikan Guan Eng tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ yang dirujuk dalam perbualan itu, bukan untuk Guan Eng, 63, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights