Kedah bukan milik PAS selama-lamanya – Mahdzir
PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan Kedah bukan milik PAS selama-lamanya.
Ini kerana katanya, Kedah bukannya negeri yang kekal didominasi PAS seperti Kelantan.
Jelasnya, PAS bukan parti yang kuat di Kedah memandangkan negeri tersebut pernah menjadi kubu Barisan Nasional (BN) dan ia berbeza dengan Kelantan di mana parti tersebut memerintah sejak 1990.
“Kedah tidak semestinya tempat PAS, dulu Kedah adalah kubu kuat BN. PAS pernah menang dan pernah juga kalah, jadi ia bukan negeri di mana PAS dominan seumpama di Kelantan,” katanya memetik FMT.
Mahdzir turut memaklumkan BN akan mengemukakan nama calon bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas rundingan kerusi.
“Kita sedang menuju ke arah persediaan, Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan kemukakan nama calon,” katanya.
Kedah kini di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor Sanusi dari PAS yang merupakan anggota komponen Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun Sanusi tidak menjadi Menteri Besar menerusi pilihan raya.
Beliau mengambil alih jawatan nombor satu di negeri jelapang padi selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa meletakkan jawatan kerana hilang majoriti buat kali kedua. – Malaysiapost