SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata mana-mana umat Islam yang berakhlak buruk tidak mewakili agama itu mahupun muslim.
Tanpa merujuk mana-mana pihak, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, setiap muslim perlu mengikut Islam dan bukan memandu Islam mengikut kehendak masing-masing.
“Islam memandu hidup kita. Rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlu ikut Islam bukan Islam yang dipandu mengikut kehendak kita.
“Islam memandu hidup manusia dengan akidah, syariat dan akhlak yang baik. Mana-mana muslim yang berakhlak buruk ia tidak mewakili Islam mahupun Muslim,” katanya menerusi Facebook.
Beliau yang juga bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, berkata Islam menyatukan manusia yang pelbagai bangsa termasuk menyatukan Muslim dengan bukan Muslim atas asas kebajikan dan keadilan.
“Kebenaran ialah pada apa yang dinyatakan oleh Islam. Adapun tafsiran yang pelbagai terhadap teks al-Quran dan al-Hadis itu adalah kepelbagaian di atas kesatuan Islam,” katanya. – Malaysiapost