REMAN tiga hari dikenakan terhadap lelaki warga asing yang ditahan semalam, susulan disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata reman ke atas suspek berkuat kuasa hari ini.
Katanya, permohonan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Reman suspek berkelakuan jelik (kencing) di surau CIQ itu dibenarkan selama tiga hari mulai hari ini sehingga Jumaat,” katanya memetik Harian Metro, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan lelaki berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian, selepas polis menerima laporan pada jam 4.36 petang.
“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk, dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain mengenai perbuatannya itu. – Malaysiapost