Lelaki persenda ucapan salam ditahan

Lelaki persenda ucapan salam ditahan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam susulan satu klip video tular disyaki menghina agama Islam.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata lelaki terbabit ditahan kerana dipercayai mempersendakan ucapan salam.

Menurutnya, polis turut merampas dua telefon bimbit dan tiga kad sim milik suspek yang kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama empat hari bermula hari ini hingga 13 Mei 2023.

Sementara itu, Noorsiah berkata, sejak Pasukan Khas Siasatan 3R (Rulers/Religion/Race) ditubuhkan pada 22 Mac lalu, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 12 individu telah ditahan.

“Siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 298A Kanun Keseksaan; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Menurutnya, PD menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan mempersenda yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa, agama bahkan boleh menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

Komen